Saturday 25 July 2015

SEJARAH SEKOLAH


Program Pendidikan Khas  telah ditubuhkan pada tahun 1972. Ia bermula sebagai sebuah kelas murid cacat pendengaran di Sekolah Rendah Kebangsaan Putra, Jalan Padang Katong, Kangar, Perlis di bawah rancangan percantuman integrasi. Guru pengasasnya ialah Puan Faridah bt. Mohamad Hassan. Pada masa itu hanya 4 orang murid yang berdaftar.

Pada tahun 1982, ditubuhkan pula kelas Khas Cacat penglihatan, dengan  4 orang murid dan  seorang guru latihan khas dari Maktab Perguruan Ilmu Khas. Pada tahun 1988, Kelas Khas Cacat Pendengaran dan Kelas Khas Cacat Penglihatan ini berpindah dan menumpang di tiga buah bilik darjah kosong tingkat bawah Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Ahmad, Kangar dan diberi nama Sekolah Rendah Pendidikan Khas Perlis. Puan Faridah dilantik menjadi Guru besar yang pertama.

Pada tahun 1991, sebuah blok yang baru dengan lima bilik darjah telah dibina hasil usaha secara gotong-royong. Blok sekolah ini dibina bersebelahan dengan Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Ahmad. Semua kelas murid khas ini telah berpindah ke bangunan tersebut dan kemudahan ini digunakan hingga sekarang.

Pada tahun 2011, Kementerian Pendidikan Malaysia telah meluluskan cadangan pembinaan projek pendidikan bagi Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Perlis yang baharu. Projek pembinaan telah bermula pada 2011 dan siap pada 2013. Majlis penyerahan kunci bangunan baru telah diadakan pada 13 Mac 2014.

Pada 31 Mac 2014, Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Perlis telah beroperasi secara rasmi di bangunan baru yang terletak di Jalan Padang Behor, 01000 Kangar, Perlis. Bangunan baru ini dilengkapi dengan prasarana yang lengkap dan mesra oku seperti 20 bilik darjah dan bilik-bilik khas yang terletak di blok akademik dan pentadbiran, blok asrama lelaki dan perempuan, kuarters, dewan serbaguna, padang permainan dan pusat perkhidmatan pendidikan khas (3PK).







No comments:

Post a Comment